Saturday, September 18, 2010

la takhaf wa la tahzan.... innallah ma'ana.....


“Abang sayang Hajar tapi…” diam sejenak.


“Abang tak mampu menidakkan rasa cinta abang terhadap Sarah,”
perlahan-lahan Ibrahim memujukku. Diam lagi.


“Sarah hadir sebelum abang mengenali Hajar namun ketetapan Tuhan mengehendaki kami berpisah buat seketika. Dengan takdir-Nya juga, kita bertemu dan jatuh cinta akhirnya berumahtangga. Akan tetapi, Sarah muncul tanpa abang duga. Kemunculan Sarah dengan seribu satu pengharapan atas kesetiaan dan pengorbanan,”
ia menambah sambil merenung tajam mataku yang berkelip-kelip menahan rembesan air mata yang bisa gugur ke bumi. ‘Oh Tuhan, tabahkanlah hatiku,’ aku berbisik sendiri.


Aku memandang Sarah yang sedang menangis teresak-esak di pangkuan puteri sulungku. Arisya Maisarah dipeluk erat. Ibrahim beria-ia menamakan anak kami dengan nama ‘Maisarah’. Ada udang di sebalik batu rupanya dan ada cinta yang tidak mampu dikuburkan. Hatiku benar-benar sayu.


Hanya dia yang aku cinta dan kepada dia aku mencurah kasih namun cintanya kepadaku tidak sepenuhnya. Ada insan lain yang sebenarnya bertakhta jauh dalam lubuk hati kecilnya.


“Kak Hajar, maafkan Sarah,” kali ini kekasih silam suamiku melutut di kakiku. Lidahku kelu, tidak mampu mengungkap walau sepatah kata. Aku benar-benar terkesima dengan apa yang berlaku. Aku masih lagi diam. Suaraku tidak kedengaran.


“Hajar…” Ibrahim berkata perlahan, lebih perlahan daripada tadi.


“Maafkan abang kerana terpaksa mengecewakan Hajar. Percayalah bahawa cinta abang buat Hajar dan Arisya tidak kan luntur selamanya,” tiba-tiba, air mata lelakinya yang begitu mahal jatuh ke bumi. Aku tahu, Ibrahim berada di persimpangan, bak membelah kepayang muda; dimakan mabuk, dicampak sayang. Kali ini, air mataku tidak dapat ditahan-tahan lagi. Sejak bila puteri bongsuku bertukar nama?


“Abi sayang Sarah…”

“Abi cinta Sarah…”

“Abi kasih Sarah…”



Itulah yang diucap Ibrahim sehari-hari namun setelah bertemu dengan Sarah yang ‘sebenar’, Arisya Maisarah sudah mendapat panggilan baru. ‘Ya Allah, ya Rahman, ya Rahim... hamba-Mu ini tidak cukup kuat menghadapi ujian,’ aku menangis sendiri. Hari ini, genap lima tahun kami menjadi pasangan suami isteri dan pada tarikh keramat ini juga segalanya terbongkar.


Hati sang isteri tersentuh. Khabar gembira yang ingin kusampaikan buat suami tercinta kupendam di dalam hati. Tidak sanggup untuk berbicara kerana pasti Ibrahim lebih teruja dengan kehadiran Eisya Maisarah, jantung hati yang sekian lama menghilang…


“Tahniah puan. Puan disahkan mengandung 13 minggu,”
kata Dr. Iman sambil tersenyum.


“Nampaknya, Sarah akan ada teman baru,”
tambahnya lagi.


Itu pagi tadi tetapi kini??? Segalanya hancur dan musnah dengan kehadiran orang ketiga. Sarah yang menjadi orang ketiga itu atau aku yang menjadi penghalang cinta Sarah dan Ibrahim sedang hubungan mereka sudah terpateri sekian lama? Jantungku berdegup kencang. Air mataku terasa mengalir laju bak tsunami yang membanjiri halaman jiwaku.


Tiba-tiba…

Uwek uwek uwek…


“Umi…” cepat-cepat Arisya Maisarah menghampiriku. Ibrahim pula masih diam kaku di tempatnya. Sah! Aku terasa diri diabaikan, semakin pudar kasih dan cinta Ibrahim kepadaku dengan kehadiran orang baru. Tidak! Orang lama yang baru muncul kembali.


Uwek uwek uwek…


Kali ini, muntahku keluar tanpa henti. Mungkin disebabkan alahan mengandung dan mungkin juga dek tekanan yang kutanggung. Memang aku tidak kuat. Aku tidak cukup tega menerima kenyataan ini meskipun aku tahu aku tidak mampu mengubah apa-apa. Kata putus telah dibuat. Ibrahim memilih untuk menikahi Sarah demi cinta yang tidak pernah hilang. Katanya, ia simpati terhadap gadis yang sanggup menunggu cintanya sekian lama tetapi aku tahu, jauh di sudut hati Sarah itu adalah wanita idamannya.


“Hajar, mari abang hantarkan ke klinik,”
kata Ibrahim perlahan. Nah! Tanggapanku tidak meleset. Suamiku ini terlalu memikirkan hati intan payungnya. Kalau tidak, mana mungkin ia memanggilku dengan nama Hajar sedang sebelumnya, panggilan ‘Sayang’ lebih kerap terungkap dari bibirnya. Sama seperti puteri sulungku yang diubah nama panggilannya, aku juga tidak terkecuali. Aku hanya menggelengkan kepala. Tidak sanggup memandang wajah insan yang telah melukai hatiku.


“Abang Ibrahim, Sarah pulang dulu,” kedengaran satu suara sayup-sayup. Diam… tiada jawapan yang diberi.


“Assalammualaikum,” katanya lagi sambil mencium tanganku yang kebasahan. Aku merenung Sarah sayu. Fahamilah hati seorang isteri yang tidak rela berkongsi kasih. Aku bukanlah seperti Siti Hajar yang sanggup berkongsi cinta dengan Siti Sarah. Aku juga bukan Saidatina Aisyah yang rela bermadu dengan isteri-isteri Rasulullah lainnya. Aku hanyalah seorang wanita yang banyak khilaf, banyak silap dan banyak salahnya. Aku aku…


“Maafkan abang Hajar…” sejurus selepas Sarah melangkah keluar rumah, Ibrahim pun turut sama menghilangkan diri. Aku sendiri tidak pasti ke mana hala tujunya. Boleh jadi sedang mengejar buah hati yang sedang berduka. Ya, Sarah beruntung kerana cinta Ibrahim tidak pernah luntur buatnya tetapi aku??? Seperti baru semalam aku mengenali Ibrahim dan masih banyak yang perlu kulakukan untuk menyelami hatinya.


“Umi…”
Arisya menghulurkan sehelai kain tuala berwarna hijau kepadaku.

“Terima kasih sayang…”
diam seketika.

“Sarah jangan tinggal umi ya,” aku mencium pipi puteriku bertalu-talu. Takut benar aku akan kehilangannya sepertimana aku kehilangan Ibrahim.


*****

“Malam ni, abang kena balik rumah Sarah. Alahannya teruk dan abang perlu temaninya,” kata Ibrahim suatu malam. Aku hanya diam.


“Insya-Allah, malam lusa abang balik rumah ya,” ia mencium pipiku sebelum keluar dari rumah.


“Abi!!!” Jerit Arisya Maisarah memanggil ayahnya.


“Abi nak pergi mana?”
Ia bertanya sungguh-sungguh.


“Arisya sayang, abi kena pergi tengok Mama Sarah. Mama Sarah tak sihat. Dia muntah-muntah. Nanti, Arisya nak dapat adik baru,” pujuk Ibrahim.


“Oooo… Arisya nak ikut,” tersentak mendengar kata-kata Arisya tetapi aku tetap diam tanpa suara. ‘Ya Allah, izinkan Arisya Maisarah menemaniku,’ bisik hatiku.


“Alaa… Arisya nak ikut abi juga. Arisya nak ikut abi juga!” Arisya menghentak-hentakkan kakinya ke lantai.


“Arisya!!” Ibrahim berkata tegas sambil membulatkan matanya yang sedia bulat.


“Siapa nak teman umi kalau Arisya ikut abi?”
Ibrahim merenung Arisya. Kali ini, suaranya dikendurkan sedikit.


“Alaaa… Allah kan ada? Kan umi dan abi cakap Allah selalu dekat dengan kita,”
Arisya Maisarah berkata sejujurnya. Ibrahim terdiam, mungkin terkejut dengan kata-kata yang terpantul dari mulut puterinya.


“Abang bawalah Arisya bersama. Insya-Allah, ada yang menemani Sayang eh…” diam seketika.


“Ada yang menemani Hajar malam ni,”
masih terkenang peristiwa lima bulan sudah, tatkala Ibrahim berterus-terang denganku perihal kehadiran Sarah dan kesediaan mereka untuk membina masjid bersama. Tiada lagi panggilan ‘Sayang’ yang terpacul dari bibir suamiku.


“Mari sayang…”
Ibrahim kemudiannya memimpin tangan puteriku yang halus. Dari kejauhan, aku memandang kereta Honda City milik suamiku keluar dari perkarangan rumah. Air mataku mengalir lagi…


“Nampaknya, puan telah keguguran,” kata Dr. Iman tatkala aku menemuinya malam peristiwa aku bertemu dengan bakal maduku. Aku kira, petang itu aku sekadar muntah-muntah tetapi tidak, tiba-tiba darah pekat mengalir laju menuruni kakiku.


“Kenapa Dr. sedang saya tidak sakit apa-apa?”
Aku masih tidak berpuas hati meskipun aku sudah sedia maklum puncanya.


“Puan terlalu stress dan…”belum sempat Dr. Iman menyudahkan bait katanya, aku menangis teresak-esak di bahunya.


“Pagi tadi, saya menerima berita gembira kehadiran orang baru. Sarah akan dapat kawan baru…” diam seketika.


“Tetapi petangnya, saya dikejutkan dengan kemunculan orang baru yang bakal mengubah kehidupan saya… Ibrahim akan bernikah lagi,” tangisanku semakin kuat kedengaran.


“Dan malam ini, saya diuji Tuhan dengan khabar yang entah boleh entahkan tidak saya depaninya,”
aku berkata sayu.

“Sabar puan. Setiap apa yang berlaku, pasti ada hikmahnya dan sesungguhnya Allah lebih tahu,” doktor muda itu cuba menenangkanku...


‘Ya Allah, berilah aku ketabahan hati sebagaimana tabahnya hati Siti Hajar,’ aku berkata sendiri. Wajah Arisya, Ibrahim dan Sarah berlegar-legar di dalam kotak pemikiranku. Runsing mengenangkan keakraban mereka. Khuatir jika ‘harta’ yang paling kukasihi dirampas pergi. Ibrahim tentu risaukan Sarah. Maklumlah, cinta yang terpateri menumbuhkan benih yang bisa sekali membuatkan cinta semakin mendalam tetapi aku? Biarlah aku sendiri dan biarlah Ibrahim tidak tahu penderitaanku.


Malam itu, aku tekad untuk bercinta lagi. Bezanya, cintaku kali ini pasti tidak akan menghampakan dan aku yakin bahawasanya diriku tidak kan dipersia. Di atas sejadah hijau pemberian Ibrahim tatkala majlis perkahwinan kami aku sujud dengan penuh khusyuk. Kepada Dia aku berharap dan kepada-Nya jua aku memohon pertolongan. Kepada Dia aku mengadu dan kepada-Nya jua aku merintih sayu.


Allah tidak akan melakukan sesuatu sia-sia. Mungkin sahaja Dia mahu menyedarkanku daripada lena yang panjang. Aku terlalu menyintai Ibrahim sehingga melupakan cinta kepada selainnya. Cintaku utuh dan teguh terhadap lelaki itu. Aku lupa, ada yang lebih berhak mendapat cintaku. Siapa????


Ya, Allah-lah yang lebih layak memperoleh cinta dan kasih sayangku. Ah, bukan Dia yang memerlukan cinta tetapi aku yang sepatutnya berkejar-kejar mendapatkan kasih-Nya. Tanpa Ilah, siapalah aku. Tanpa Rab, aku tidak punya siapa-siapa di atas muka bumi ini kerana segalanya milik Dia.


Terima kasih Tuhan kerana tidak membiarkan aku terus alpa dan leka dalam dunia ciptaanku. Insya-Allah, aku kan lebih gagah dengan kehadiran cinta tulus-Mu.


Friday, September 17, 2010

air mata malam pertama..(T_T)

Azan maghrib yang berkumandang mengejutkan aku dari lamunan. Dah masuk waktu maghrib rupanya. Masih banyak lagi barang-barang yang belum dikemaskan. Penat juga nak kemaskan semua ni.

"Nanti kite kemas lepas ni. Mari solat maghrib dulu." Ujar ayah padaku.

Adik-adik sibuk bentangkan tikar dan sejadah di ruang solat. Begitulah selalunya apabila kami berkumpul.

Solat berjemaah adalah saru agenda yang tidak boleh dilupakan. Semua orang telah siap sedia menunggu sewaktu aku keluar dari berwudhuk di bilik air.

Aku cepat-cepat mengenakan telekung dan memasuki saf bersama emak, kakak dan adik. Selesai je iqamah, ayah memberikan penghormatan kepada suamiku untuk menjadi imam.

Dia kelihatan serba salah dengan permintaan ayah itu.

Dia merenung ke arahku. Aku hanya mengangguk sebagai isyarat supaya dia memenuhi permintaan ayah itu.

Maka dengan tenang, dia mengangkat takbir. Menjadi imam solat maghrib kami pada malam itu.

Betapa hatiku tenang sekali menjadi makmumnya. Dengan bacaan yang jelas dan merdu itu membuatkan aku berasa kagum dengan suamiku itu.

Mungkin tepat pilihan ayah dan mak buatku. Bacaannya lancar lagi fasih. Bagaikan seorang arab yang menjadi imam.

"Wahai Tuhan kami! Janganlah Engkau mengirakan kami salah jika kami terlupa atau tersilap. Wahai Tuhan kami! Janganlah Engkau bebankan kami dengan bebanan yang berat sebagaimana yang telah Engkau bebankan kepada orang-orang yang terdahulu daripada kami."

"Wahai Tuhan kami! Jangan Engkau pikulkan kepada kami apa-apa yang tidak terdaya kami memikulnya. Dan maafkanlah kesalahan kami serta ampunkanlah dosa kami dan berilah rahmat kepada kami."

"Wahai Tuhan kami! Kurniakanlah kami daripada isteri dan suami serta zuriat keturunan yang boleh menjadi cahaya mata buat kami dan jadikanlah kami daripada golongan orang-orang yang muttaqin."

Dia membaca doa dengan khusyuk memohon kepada Tuhan setelah selesai solat. Kami bersalaman.

Aku mendekati suamiku sambil menghulurkan tangan. "Bang, maafkan Ana!" Bisikku perlahan sewaktu mencium tangannya.

Dia kemudiannya mengucupi dahiku sebagai tanda kasih yang tulus. "Sayang tak ada apa-apa salah dengan abang." Ujarnya sambil tersenyum merenung wajahku. Selepas berwirid dan berzikir, dia bangun menuju ke halaman rumah.

"Abang nak ke mana tu?" Soalku. "Nak kemaskan barang-barang kat bawah tu. Ada sikit lagi." Jawabnya.

"Dah la tu. Rehat jelah. Esok kita boleh sambung lagi."Aku kesian melihatnya, keletihan.

"Betul kata Ana tu Zul. Sambung esok sajalah." Sampuk ayah yang tiba-tiba mendengar perbualan kami. Emak pun mengangguk menyetujui sarananku itu. "Takpelah ayah, Ana. Sikit aje tu. Kejap je saya buatnya."

Dia masih berkeras sambil berlalu turun ke halaman rumah untuk mengemas beberapa peralatan yang masih lagi berada di bawah khemah. Aku menukar pakaian, kemudian keluar membantu suamiku mengemas barang-barang di halaman rumah.

Dia kelihatan asyik tanpa menyedari kehadiranku. Semua barang-barang telah dikemasnya. Aku mencapai kain pengelap dan mula mengelap meja.

"Bila Ana turun?", soalnya apabila menyedari aku sedang mengelap meja, "Baru aje. Asyik sangat abang buat kerja sampai tak sedar Ana datang."

"Maafkan abang sayang", Dia menghampiriku. "Sayang tak marahkan?" Soalnya lagi sambil memeluk pinggangku erat.

Aku merenungnya, kemudian mengeleng-ngeleng sebagai tanda aku tak ambil hati pun pasal tu. Dia tersenyum sambil menghadiahkan satu ciuman di pipiku.

"Ish..abang ni! Nanti dilihat orang, malu kita", Rungkutku tersipu-sipu.

Nanti malu juga kalau dilihat oleh ahli keluargaku. "Apa nak malu, kan sayang ni isteri abang." Jawabnya tersenyum.

"Tau la, tapi tengok la keadaan dan tempat. Kalau kita berdua saja, lebih dari cium pun Ana bagi." "Betul ni?" Soal suamiku cepat-cepat. "Ish..Gatal la abang ni!", Dia cuba mengelak dari menjadi mangsa cubitan tanganku.

Aku terasa bahagia disayangi begini. Inilah pertama kali dalam hidupku merasai betapa nikmatnya cinta dan kasih sayang seorang kekasih hati yang aku sayangi.

Aku tidak pernah terlibat dengan cinta walaupun semasa aku di universiti dulu.

Dan pada tika ini, aku akan menikmatinya selepas perkahwinan. Cinta seorang suami terhadap seorang isteri.

Walaupun begitu, masih ada sedikit rasa takut di hatiku.

Aku takut aku tidak mampu untuk menunaikan tanggungjawab sebagai seorang isteri.

Aku takut aku tidak mampu untuk menjadi seorang isteri yang solehah dan mulia dalam hidup suamiku.

"Apa yang Ana menungkan ni?" Soalan itu mengejutkan aku dari lamunan. Aku berehat sekejap di atas kerusi batu dalam taman di halaman rumah setelah selesai mengemas barang-barang.

"Abang ni, terkejut Ana tau!" Aku buat-buat merajuk.

Saja nak menduga bagaimana suamiku memujuk. "Alaa..sayang ni..macam tu pun nak marah." Usiknya sambil mencubit pipiku.

"Nampak gayanya terpaksalah abang tidur bawah katil dengan nyamuk-nyamuk malam ni sebab isteri abang dah merajuk. Kesian kat abang yea!" Aku mula tersenyum dengan kata-kata suamiku itu.

Pandai juga suamiku buat lawak nak memujuk aku.

"Sayang…" Seru suamiku sambil merangkul tubuhku, "Sayang nak honeymoon kemana?" Tak terfikir pulak akau pasal honeymoon tu.

Aku pun tak ada apa-apa plan atau cadangan pasal tu. "Ana ikut aje ke mana abang nak bawa." "Kalau abang bawa ke bulan atau bintang, sayang nak ikut ke?" Guraunya.

"Banyak ke duit abang nak bayar tambang roket dan nak beli set bajunya nanti?" Soalanku itu membuatkan suamiku pecah ketawa.

"Nanti sayang nak berapa orang anak?" Soalnya lagi setelah ketawanya reda. "Abang nak berapa?" Soalku kembali tanpa menjawab soalannya.

"Abang nak sebanyak mungkin. Larat ke sayang nanti?" "Ish…abang ni. Abang ingat Ana ni kilang anak ke?" Sekali lagi suamiku ketawa.

Nampaknya dia adalah orang yang mudah ketawa. "Takdelah macam tu. Tapi abang suka kalau kita ada anak yang ramai. Sama banyak lelaki dan perempuan."

"Insya Allah, kalau ada rezeki nanti Ana sanggup."

Penjelesanku itu membuatkan suamiku tersenyum gembira. "Ni yang buat abang tambah sayang ni." Satu lagi kucupan mesra singgah di pipiku.

Aku terasa bahagia diperlakukan begitu. Aku punyai suami yang baik dan penyayang. Aku rasa dilindungi.

"Zul, Ana! Jom kita makan dulu!" Suara mak memanggil. "Mari bang! Ana pun dah lapar ni." Ajakku sambil memimpin tangannya.

Kami bangun beriringan masuk ke dalam rumah untuk menghadapi hidangan makan malam.

Rasa lapar la juga kerana sejak tadi lagi asyik layan tetamu dan buat kerja aje sampai lupa untuk makan.

Seronok sangat dengan kahadiran kawan-kawan rapat serta gembira dianugerahi seorang suami yang baik. Sudah beberapa hari aku asyik memikirkan pasal pertunanganku.

Terlalu sukar untuk aku menerimanya. Tambah lagi dengan lelaki yang tidak pernah kukenali.

Perkahwinan bukanlah sesuatu yang boleh diambil mudah. Kehidupan yang memerlukan persefahaman sepanjang hidup.

Tanpa persefahaman dan tolak ansur, mustahil dua jiwa dan dua hati boleh bersatu dalam menjalani hidup sebagai suami isteri.

Tidak sedikit cerita yang aku dengar tentang rumah tangga yang hanya mampu betahan buat seketika atau separuh jalan sahaja.

Kemudian pecah berkecai umpama kapal dipukul badai. Berselerak dan bertaburan. Apatah lagi kalau dah dikurniakan anak. Anak-anak akan jadi mangsa keadaan.

"Mampukah aku menerima suamiku nanti sepenuh hatiku? Mampukah aku menyediakan seluruh ruang isi hatiku ini buat suamiku itu?

Bahagiakah aku bila bersamanya nanti?" Bertalu-talu persoalan demi persoalan menerjah benak fikiranku.

Aku rasa amat tertekan dengan keadaan ini. Bukan aku tak fakir pasal rumah tangga, tapi aku masih belum bersedia untuk melaluinya.

"Ya Allah, bantulah aku dalam membuat keputusan. Tunjukkanlah aku jalan penyelesaian. Janganlah Engkau biarkan aku sendirian dalam menentukan masa depan hidupku."

"Ya Allah, aku benar-benar tersepit antara kehendak orang tuaku dan persaan hatiku sendiri. Kiranya ia baik buatku, maka berilah aku redha dalam menerimanya wahai Tuhan."

Indahnya kuperhatikan suasana kamarku. Aku sendiri yang menghiasinya. Kamar malam pertamaku bersama seorang lelaki yang bergelar suami.

Kamar yang akan menjadi saksi bisu bila mana aku menyerahkan khidmatku pada seorang suami. Kegusaran dan sedikit gentar mula bertandang dalam sanubari.

Aku rasa takut sendirian untuk melalui keindahan malam pertama ini. Bagaimanakah akan melayani suamiku nanti?

Ketukan pada pintu bilik membuatkan hatiku bertambah gusar. Dari tadi lagi aku hanya duduk di birai katil.

"Masuklah, pintu tak berkunci." Aku bersuara perlahan. Aku pasti, itu adalah suamiku. Dia masuk, kemudian menutup pintu bilik kami dengan perlahan.

Dia kemudiannya menghampiri dan duduk di sisiku. "Kenapa asyik termenung aje ni? Sayang tak gembirakah bersama abang?"

Aku tak menyangka soalan itu yang diajukan oleh suamiku tatkala ketakutan di malam pertama begitu membanjiri jiwaku.

Aku hanya mampu mengeleng-ngeleng. Aku sendiri tak tahu apa jawapan yang terlebih baik untuk soalan suamiku itu.

"Habis tu apa yang sayang menungkan ni?", "Ana takut bang!" Itulah aku rasa jawapan yang tepat bagi menjawab soalannya. Dia memelukku erat sambil membelai rambutku.

"Apa yang nak ditakutkan? Abangkan ada. Abang akan bantu dan tolong sayang. Kita sama-sama bina keluarga kita." Pujuk suamiku.

"Ana takut Ana tak mampu untuk menjalankan tugas sebagai isteri abang. Ana banyak kelemahan bang. Ana takut nanti Ana akan mengecewakan abang. Ana takut.."

Aku tidak sempat untuk meneruskan kata-kataku kerana suamiku telah meletakkan telunjuknya di bibirku tanda tidak membenarkan aku menghabiskan bicaraku.

Terkebil-kebil mataku memandangnya.

"Sayang, abang terima sayang sebagai isteri abang seadanya. Abang terima segala kelebihan dan kekurangan yang ada pada sayang. Usahlah sayang risaukan pasal itu. Ok sayang!

"Bisiknya. Aku memeluknya syahdu di atas penerimaannya terhadapku. "Sayang, abang nak mandi kejap. Badan ni dah rasa macam melekit."

Aku bangun membuka almari pakaian dan mencapai sehelai tuala serta kain pelikat. Kuhulurkan kepadanya dengan penuh kasih sayang.

Dia tersenyum kepadaku dan mencium pipiku sebelum berlalu ke bilik air.

Kemudian aku terdengar siraman air terjun ke lantai. Malam berarak perlahan. Langit kelihatan gelap pekat tanpa bulan dan bintang.

Mungkin sekejap lagi hujan akan mencurah, membasahi bumi yang sudah beberapa hari merindui titis air untuk membajai ketandusannya.


"Ayah, mak! Ana dah buat keputusan." Beritahuku sewaktu kami sedang berehat di beranda rumah pada suatu hari.

Ayah yang sedang membaca akhbar dan emak yang sedang menyulam tiba-tiba memandangku serentak, kemudian berpaling sesama sendiri.

"Keputusan tentang apa?" Soal ayah inginkan kepastian. Mungkin mereka tertanya-tanya keputusan apakah yang telah kubuat. "Pasal peminangan tu." Ujarku.

Ayah dan emak kembali merenungku. Mereka memberikan perhatian kepada apa yang bakal aku beritahu.

Keputusan yang telah kubuat setelah berfikir baik dan buruknya. Keputusan yang bakal menentukan masa depan arah perjalanan hidupku.

"Kiranya ini takdir Tuhan, maka Ana redha dengan jodoh yang ayah dan emak pilih." Terasa pilu sekali hatiku sewaktu meluahkannya.

Ada sedikit titis jernih jatuh ke riba. Aku mengesatnya dengan hujung jari.

Emak bangun dan memelukku. Aku tidak tahu apakah ertinya pelukan emak itu.

Pelukan gembira oleh kerana aku menerima pilihan mereka atau pelukan untuk menenangkan jiwaku yang sedang berkecamuk dan sedih ini?

Hanya emak yang tahu hakikatnya.

"Syukurlah, moga Ana bahagia nanti." Ucap ayah padaku.

Aku terpaksa berkorban demi untuk melihat senyuman di bibir ayah dan emak walaupun hatiku sendiri terpaksa menangis.

Tapi adalah terlebih baik bagiku memakan hatiku sendiri daripada memakan hati orang tua ku.

"Nanti mak kenalkan dia pada Ana." Ujar emak sambil tersenyum kerana keputusanku memihak kepada mereka.

"Tak payahlah mak. Kenalkan pada Ana di hari perkahwinan tu aje." Aku rasa lebih baik demikian kerana selepas ijab Kabul aku sudah tidak punyai pilihan lain selain daripada menerima walaupun dengan terpaksa lelaki pilihan ayah dan emak ku itu sebagai suamiku.

Aku tidak mahu pertemuan sebelum ijab kabul nanti akan menyebabkan aku berbelah bagi dengan keputusan yang telah aku buat.

"Kenapa pula macam tu? Kan lebih baik kalau Ana berkenalan dahulu dengannya." Ayah mempersoalkan keputusanku itu.

"Ana telah memenuhi kehendak ayah dan mak dengan menerima pilihan ayah dan mak. Tak bolehkah ayah dan mak memenuhi permintaan dan kehendak Ana pula?" Aku berlalu meninggalkan mereka dalam keadaan tercengang dengan permintaan ku itu.

Aku siapkan kamar tidur seadanya. Aku letakkan pakaian persalinan buat suamiku di atas katil. Aku menunggunya keluar dari bilik air.

Aku sendiri telah bersiap-siap menukar pakaian malam menanti suamiku itu dengan penuh debaran. Kedengaran pintu bilik air dibuka.

Dia keluar sambil tersenyum ke arahku. "Sayang, boleh tak ambilkan abang segelas air. Dahagalah." Pintanya sambil mengelap-ngelap badannya dengan tuala di tangan.

"Baik bang. Bang, ni baju abang." Ujarku sambil bangun untuk ke dapur.

Sewaktu aku keluar, lampu di ruang tamu semuanya telah dipadamkan. Kulihat jam dah dekat pukul 1 pagi.

"Patutlah." Bisik hatiku. Aku meneruskan langkahku ke dapur dalam smar-samar cahaya bilik yang masih lagi terpasang.

Kupenuhkan labu sayung dengan air masak dan ku capai sebiji gelas. Aku membawa kedua-duanya menuju ke bilik.

Suasana malam agak sunyi. Tiada bunyi cengkerik atau cacing tanah. Cuma kat luar sana kadang-kadang langit kelihatan cerah diterangi cahaya kilat memancar.

Malam yang pekat bakal mencurahkan hujan. Sewaktu aku melangkah masuk ke bilik, kelihatan suamiku sedang khusyuk berdoa atas sejadah.

Mulutnya terkumat kamit tanpa kutahu butir bicaranya. Kutuangkan air kedalam gelas dan kuletakkan atas meja menanti suamiku selesai berdoa.

Kemudian dia bangun menghampiriku. Aku menghulurkan gelas air kepadanya.

"Bang…."Seruku. "Ada apa sayang?" Soalnya apabila melihat aku tersipu-sipu kearahnya. "Malam ni abang nak…..nak….."Agak segan untuk kuteruskan pertanyaan itu.

Suamiku masih lagi menanti persoalan yang kutanya… " Nak apa sayang?" Soalnya lagi sambil tersenyum. "Ah..abang ni…"Aku malu sendirian apabila melihat suamiku seolah-olah dapat membaca fikiranku.

"Ya, abang nak sayang layan abang malam ni. Boleh tak?" Bisiknya ketelingaku. Aku hanya mampu mengangguk-angguk tanda bersedia untuk melayani segala kehendak dan kemahuannya.

Aku cuba untuk mempersiapkan diri sebagai seorang isteri yang mampu menyediakan dan memenuhi segala keperluan dan kemahuan suamiku itu.

"Assalamualaikum, wahai pintu rahmat!" Bisik suamiku. "Waalaikumussalam wahai tuan pemilik yang mulia." Jawabku.

Malam yang gelap kehitaman itu kulaluinya bertemankan seorang lelaki yang telah kuserahkan kepadanya seluruh jiwa dan ragaku ke dalam tangannya.

Dia berhak segala-galanya keatasku. Sebagai seorang isteri, aku mesti sentiasa patuh kepada segala arahan dan suruhannya selagi mana ia tidak bercanggah dengan ketetapan Tuhan dan Rasul.

Pertama kali kulalui dalam hidupku, malam bersama seorang lelaki yang telah dihalalkan aku keatasnya. Aku umpama ladang dan suamiku itu adalah peladang.

Ia berhak mendatangiku mengikut sekehendak hatinya.

Aku telah membaca beberapa buah buku tentang alam perkahwinan, rumahtangga dan tanggungjawab seorang isteri apabila aku menerima pilihan emak dan abah terhadapku.

Aku cuba untuk mempraktikkannya selagi aku termampu untuk melakukannya.

Aku cuba menjadi yang terbaik bagi suamiku. Aku ingin suamiku bahagia bersamaku.

Aku ingin menjadi permaisuri yang bertahta di hati dan jiwanya sepanjang usia hayatnya.

Rasulullah bersabda: "Sebaik-baik isteri itu ialah yang dapat menenangkan kamu apabila kamu melihatnya dan taat kepada kamu apabila kamu perintah dan memelihara dirinya dan menjaga hartamu apabila kamu tiada."

Rasulullah bersabda: "Setiap wanita itu adalah pengurus sebuah rumahtangga suaminya dan akan ditanyakan hal urusan itu." Rasulullah bersabda: "Isteri yang mulia ini merupakan sesuatu yang terbaik di antara segala yang bermanfaat di dunia."

Rasulullah bersabda: "Sesungguhnya wanita yang baik itu adalah wanita yang beranak, besar cintanya, pemegang rahsia, berjiwa kesatria terhadap keluarganya, patuh terhadap suaminya, pesolek bagi suaminya, menjaga diri terhadap lelaki lain, taat kepada ucapan suaminya dan perintahnya, dan apabila bersendirian dengan suaminya, dia pasrahkan dirinya kepada kehendak suaminya itu."

Sesungguhnya perkahwinan ataupun rumahtangga itu bukanlah sesuatu yang boleh dipandang remeh atau yang boleh dipermain-mainkan. Ia adalah suatu ikatan yang menghalalkan yang haram sebelumnya.

Ia memerlukan persefahaman, tolak ansur, saling mempercayai, tolong-menolong, kasih mengasihi seikhlas hati dan sebagainya.

Tanpa itu semua, mana bisa dua jiwa yang berlainan sifat dan sikap mampu mengharungi sebuah kehidupan yang penuh dengan dugaan ini bersama-sama. Ia amat mustahil sekali.

Maka seharusnya kita perlu mempersiapkan diri sebelum memasuki gerbang perkahwinan dengan pelbagai ilmu.

Ilmu kekeluargaan, ilmu keibu bapaan, psikologi kanak-kanak dan sebagainya.

Jangan cuba untuk menghampirinya selagi mana kita belum benar-benar bersedia untuk menghadapinya.

Jangan kita fikirkan tentang nafsu semata-mata. Fikirkan sama tentang tanggungjawab yang bakal kita pikul nanti. Tanggungjawab sebagai seorang suami ataupun isteri, tanggungjawab sebagai seorang bapa ataupun ibu.

Mampukah kita semua memenuhi atau menunaikan tanggungjawab dan tuntutan itu. Kita pastinya akan dipersoalkan tentang pertanggungjawaban itu.

Sama ada di dunia mahaupun di hadapan Tuhan nanti.

Kerana tanggungjawab itu adalah amanah yang perlu ditunaikan oleh setiap orang. Bunyi batuk yang berlarutan menyebabkan aku tersedar dari tidur istimewaku malam ini.

Sewaktu aku membuka mata, aku lihat suamiku sedang bersimpuh diatas sejadah.

Dia mengurut-urut dadanya menahan batuk. Aku bingkas bangun, turun dari katil dan menghampirinya. "Abang tak apa-apa?" Soalku risau dengan keadaannya.

Aku mula risau, takut-takut suamiku itu mempunyai penyakit-penyakit tertentu yang tidak aku ketahui.

"Abang ok je. Mungkin sejuk sikit kot."Jelasnya. Mungkin juga. Hawa dinihari itu sejuk sebab hujan masih lagi bergerimis selepas mencurah lebat semalam.

"Pergilah mandi, ayah dan semua orang sedang menunggu kita untuk berjemaah di luar tu." Arah suamiku sambil tersenyum merenungku dengan pijama itu. Aku malu sendirian bila mata suamiku menyorot memerhati seluruh tubuhku itu.

"Nakallah abang ni." Aku bangun mencapai tuala dan terus ke bilik air untuk mandi. Aku masih lagi terdengar batuk-batuk dari luar. Ayah mahu suamiku mengimami solat subuh itu, tapi suamiku menolak dengan alasan dia batuk-batuk dan tak berapa sihat.

Namun ayah masih berkeras, maka terpaksalah dia menjadi imam. Kesian aku melihatnya. Bacaannya tidak selancar semalam. Banyak tersangkut dan terpaksa berhenti atau mengulanginya kerana asyik batuk-batuk sahaja. Aku mula risau lagi dengan keadaan begitu.

Selepas beriwirid pendek, dia membacakan doa dengan perlahan tapi masih boleh didengari oleh semua ahli keluargaku.

Aku lihat muka suamiku agak kepucatan. "Kenapa ni bang?" Soalku sewaktu bersalaman dengannya. " Entahlah, abang rasa kurang sihat sikit pagi ni.."

"Zul sakit ke?" Tanya ayah. "Takdelah, cuma kurang sihat sikit. Mungkin sebab cuaca kot."Jawabnya. "Elok makan ubat, nanti takut melarat pulak." Sampuk mak. "Nanti Ana ambilkan ubat."

Aku bangun ke dapur untuk mengambil ubat dalam rak ubat. Ubat-ubatan asas sentiasa tersimpan dalm rak ubat di rumahku.

Ini bagi memudahkan bagi tujuan rawatan segera kalau ada apa-apa berlaku. Aku ambil sebotol ubat batuk dan segelas air.

Suamiku sudah masuk ke bilik. Batuknya agak berkurangan sedikit dari tadi. Mungkin betul juga ia ada kaitan dengan keadaan cuaca yang sejuk.

Dia menghirup sirap batuk yang kusuapkan. "Terima kasih." Ucapnya perlahan. Aku angguk. "Abang berehatlah." Ujarku sambil membaringkan badannya ke atas tilam.

"Abang minta maaf kerana menyusahkan sayang." " Kenapa pula abang cakap macam tu. Sikit pun Ana tak rasa susah."

"Abang tahu sayang susah hati tengok abang begini. Sepatutnya hari pertama begini, abang kena membahagiakan sayang. Tapi abang minta maaf sebab keadaan abang tak mengizinkan."

"Dahla tu bang. Ana isteri abang. Ana sentiasa bersedia berkhidmat untuk abang tanpa sedikit pun rasa susah.", Pujukku walaupun sebenarnya hatiku memang runsing dengan keadaannya.

"Walau apapun yang berlaku, abang tetap sayang dan cintakan sayang. Sayanglah satu-satunya buah hati abang." Sambung suamiku tanpa menghiraukan nasihatku supaya dia berehat saja.

Entah kenapa tiba-tiba sahaja hatiku dilanda kesedihan. Entah darimana ia berputik.

"Abang minta maaf atas segalanya. Sayang maafkan abang yea" "Abang nak tidur dulu. Mengantuk rasanya." Ujarnya perlahan. "Abang tidurlah."

Aku menarik selimut untuk menyelimutinya. Aku menciumi dahinya.

Sekejap sahaja dia terlena selepas mulutnya terkumat kamit membacakan sesuatu. Aku memerhatikan suamiku buat seketika.

Tidurnya kelihatan tenang dengan susunan nafas yang teratur. Aku suka melihat wajahnya yang memberikan ketenangan buatku.

Wajahnya yang agak bersih dihiasi dengan kumis dan jambang yang nipis dan terjaga.

Aku berdoa dan berharap agar kurniaan Tuhan ini akan berkekalan bersamaku hingga ke akhir hayat.

Namun segala-galanya telah ditentukan Tuhan. Hidup, mati, rezeki, baik dan buruk seseorang hamba itu telah ditentukan Tuhan semenjak ia berada dalam kandungan ibunya lagi.

Maka aku sebagai seorang hamba yang lemah terpaksa menerima segala kehendaknya dengan redha dan tenang.

Siapa tahu, rupa-rupanya itulah hari pertama dan terakhir aku bersama suamiku yang baru aku kenali itu.

Aku hanya mengenalinya seketika sahaja, namun dia telah meninggalkan aku buat selama-lamanya.

Aku belum sempat untuk menjalankan tugasan sebagai isteri dengan sepenuhnya. Apalagi yang dapat aku lakukan. Patutlah dia asyik memohon maaf dariku.

Sewaktu aku ingin mengejutkannya untuk bersarapan, berkali-kali aku cuba memanggil namanya.

Namun dia masih tak menjawab. Aku menggoncang tubuhnya, tetapi tetap tak ada respon. Aku sentuh tangannya, sejuk.

Aku memeriksa nadi dan denyutan jantungnya. Senyap!

Air mataku terus je mengalir tanpa dapat ditahan lagi. Menangisi kepergian seorang suami.

Aku tersedu-sedu sewaktu semua ahli keluarga masuk kebilik untuk melihat apa yang berlaku setelah terlalu lama aku cuba mengejutkan suamiku itu.

Tapi rupanya hanyalah jasad yang terbujur kaku.

"Sudahlah Ana, bersyukurlah kerana masih ada lagi pusaka tinggalannya buat Ana." Pujuk emak.

Aku hanya mampu tersenyum dengan pujukan emak itu sambil memandang wajah seorang bayi lelaki yang sedang nyenyak tidur disebelahku. Itulah takdir Tuhan, malam pertama yang telah membuahkan hasil.

Walaupun hanya pertama, tapi itulah panglima yang menang dalam pertarungan bagi menduduki rahimku ini.

Hari ini, zuriat suamiku itu telah menjenguk dunia ini. Satu-satunya pusaka yang tidak ada nilai buatku selain sebuah rumah yang telah diwasiatkan oleh suamiku buatku.

"Ya Allah, tempatkanlah rohnya bersama golongan yang soleh. Ya Allah, rahmatilah anakku ini. Jadikanlah dia umpama bapanya yang sentiasa taat kepadamu. Jadikanlah ia berjasa kepada perjuangan dalam menegakkan agamamu. Jadikanlah ia sebagai permata yang membahagiakan aku dan seluruh keluargaku."

Tuesday, September 14, 2010

SERAHKAN HIDUP DAN MATI KEPADANYA....




AMBIL PENGAJARAN DAN KITA AMALKAN SETIAP MASA....INSYAALLAH...


Seorang wanita muslim dari Malaysia yang bekerja di US, memakai tudung dan memiliki akhlak yang bagus. Suatu malam perempuan ini dalam perjalanan balik ke rumah dari tempat kerjanya. Kebetulan dia mengambil jalan singkat untuk pulang. Jalan yang diambil pula agak tersorok dan tidak banyak orang yang lalu lalang pada masa itu.


Maklum hari sudah lewat. Berjalan di jalan yang agak gelap sebegitu membuatkan dia agak gelisah dan rasa takut berjalan bersaorangan. Tiba-tiba dia nampak ada seorang lelaki (kulit putih Amerika) bersandar di dinding di tepi lorong itu. Dia sudah mula rasa takut dan tak sedap hati. Apa yang saudari kita ni boleh buat adalah berdoa ke hadrat Allah memohon keselamatan atas dirinya. Dia baca ayat Kursi dengan penuh pengharapan agar Allah membantu dia disaat itu.


Masa dia melepasi lelaki yang bersandar itu, dia sempat menoleh dan dapat mengecam muka lelaki itu. Nasib baik lelaki itu buat tidak endah dan perempuan ini selamat sampai ke rumahnya.


Keesokkan paginya, saudari ini terbaca dalam akhbar yang seorang perempuan telah dirogol oleh seorang lelaki yang tidak dikenali dekat lorong yang dia jalan semalam hanya 10 minit selepas dia melintasi lorong tersebut.Muslimah ini yakin benar lelaki kulit putih yang dia lihat semalam adalah perogol itu.


Atas rasa tanggungjawab dia terus ke balai polis dan buat aduan. Wanita ni dapat mengenalpasti suspek melalui kawad cam dan selepas siasatan dilakukan, polis dapat bukti bahawa lelaki tersebut adalah perogol yang dicari. Tapi perempuan Muslim ini hairan juga kenapa lelaki tadi tak jadikan dia mangsa ketika dia melalui lorong tersebut walhal dia keseorangan di masa tu, tetapi lelaki tadi rogol perempuan yang lalu selepas dia. Muslimah ini nak tahu sangat sebabnya. Jadi dia minta kebenaran polis untuk bercakap dengan perogol tadi sebelum hukuman dijatuhkan (sebelum lelaki tadi di bawa ke tempat lain).


Dia pun tanya perogol itu

“Why don’t you do anything to me on that night even though you know that I’m alone?”

Perogol tu jawab:

“No, you are not alone. That night I saw two young man walking with you. One on your right side and the other one was by your left side. If you were alone of course you will be my victim.”



Saudari ni rasa amat terkejut bila dengar penjelasan perogol tu. Dia bersyukur ke hadrat Allah kerana memelihara dia malam itu, mungkin juga berkat ayat Kursi yang dia baca malam itu.


MORAL CERITA INI:


Jika kita sebagai hambaNya menurut segala perintah dan meninggalkan segala laranganNya, Dia pastinya akan sentiasa dekat dengan kita dan memelihara kita. Muslimah tadi pertama-tamanya menutup aurat dan memang Muslimah yang menjaga batas-batas yang ditetapkan Islam. (Kalau aurat terbuka malaikat pun malas dekat). Mungkin dua orang lelaki yang menemani wanita itu adalah malaikat yang diutuskan Allah untuk menjaga hambaNya yang sentiasa ingat akan diriNya.


Ayat Kursi sememangnya adalah ayat pelindung yang mustajab…selalulah amalkannya. Bayangkan anda seorang yang selalu ingkar suruhan Allah, kufur dengan nikmatnya, sambil lewa beribadat. Dapatkah anda mendapat pertolongan sebegini dari Allah? Balasan Allah tu boleh datang semasa di dunia lagi. Di akhirat kelak memang pasti kerana itu janji Allah. Jadi, renungkanlah di mana level ‘iman’ kita sekarang ini. Wassalam.


Barang siapa membaca ayat Kursi apabila berbaring di tempat tidurnya,Allah mewakilkan 2 orang Malaikat memeliharanya hingga subuh.
Barang siapa yang membaca ayat al-Kursi ketika dalam kesempitan nescaya Allah berkenan memberi pertolongan kepadanya [Dari Abdullah bin ‘Amr r.a.]



Sebuah kisah benar yang sangat sangat menarik pada pandangan ANA....semoga anda semua mendapat pengajaran dan ilmu yang bermanfat.sebagai hamba kita seharusnya percaya dengan kemampuan senjata orang mukmin iaitu DOA….semoga kita sentiasa dipeliHara Allah dari kejahatan syaitan yang di rejam…….


BIDADARI TERCANTIK

Bidadari merupakan salah satu anugerah Allah kepada seorang lelaki yang memasuki syurga. Bagi seorang wanita yang solehah maka bidadari bagi suaminya adalah dikalangan bidadari-bidadari kurniaan Allah dan dia (isteri solehah merupakan ketua akan segala bidadari-bidadari tsb).

Bidadari Syurga Pictures, Images and Photos


Berjihad pada agama Allah merupakan satu amalan yang menjadi kesukaan Allah swt dan ini merupakan sunnah besar nabi SAW dan kalangan sahabat-sahabat. Setiap manusia yang mati wlaupun berapa umurnya maka akan ditanya dimanakah masa mudanya dihabiskan.


Kisah......

'Ainul Mardhiah merupakan seorang bidadari yang paling cantik dikalangan bidadari-bidadari yang lain (nama puteri bongsu saya yang bermaksud mata yang di redhai).

Suatu pagi (dalam bulan puasa) ketika Nabi memberi targhib (berita-berita semangat di kalangan sahabat untuk berjihad pada agama Allah) katanya siapa-siapa yang keluar di jalan Allah tiba-tiba ia syahid, maka dia akan dianugerahkan seorang bidadari yang paling cantik di kalangan bidadari-bidadari syurga. Mendengar berita itu seorang sahabat yang usianya sangat muda teringin sangat nak tahu bagaimana cantiknya bidadari tersebut.... tetapi dia malu nak bertanyakan kepada Nabi kerana malu pada sahabat-sahabat yang lain. Namun dia tetap memberi nama sebagai salah seorang yang akan keluar atau pergi.


Sebelum Zohor sunnah Nabi akan tidur sebentar (dipanggil khailulah, maka sahabat yang muda tadi juga turut bersama jemaah tadi... tidur bersama-sama....

Dalam tidur tersebut dia bermimpi berada di satu tempat yang sungguh indah, dia bertemu dengan seorang yang berpakaian yang bersih lagi cantik dan muka yang berseri-seri lalu ditanyanya di manakah dia... lalu lelaki itu menjawab inilah syurga. Lalu dia menyatakan hasrat untuk berjumpa dengan 'Ainul Mardhiah... lalu ditunjuknya di suatu arah maka berjalan dia... di suatu pepohon beliau mendapati ada seorang wanita yang tak pernah dia lihat kecantikan begitu... takpernah dilihat didunia ini... lalu diberi salam dan dia bertanya andakah ainul mardhiah... wanita itu menjawab ehh tidakk... saya khadamnya ainul mardhiah ada di dalam singgahsana sana.

Lalu dia berjalan dan memasuki satu mahligai yang cukup indah dan mendapati ada seorang lagi wanita yang kecantikannya berganda-ganda dari yang pertama tadi sedang mengelap permata-mata perhiasan di dalam mahligai.... lalu diberi salam dan di tanya lagi adakah dia ainul mardiah lalu wanita itu menjawab..eh tidakkk saya hanya khadamnya di dalam mahligai ini...

'Ainul Mardiah ada di atas mahligai sana..... lalu dinaikinya anak-anak tangga mahligai permata itu kecantikkannya sungguh mengagumkan... lalu dia sampai ke satu mahligai dan mendapati seorang wanita yang berganda-ganda cantik dari yang pertama dan berganda-ganda catiknya dari yang kedua.... dan tak pernah dia lihat di dunia.... lalu wanita itu berkata ...akulah 'Ainul Mardhiah, aku diciptakan untuk kamu dan kamu diciptakan untuk aku.... bila lelaki itu mendekatinya wanita itu menjawab... nantiii kamu belum syahid lagiiii......tersentak itu pemuda itu pun terjaga dari tidurnya lalu dia menceritakan segala-galanya kepada satu sahabat lain, namun begitu dia memesan agar jangan menceritakan cerita ini kepada Nabi SAW... tapi sekiranya dia syahid barulah ceritakan kepada Nabi.


Petang itu pemuda itu bersama-sama dengan jemaah yang terdapat Nabi di dalamnya telah keluar berperang lalu ditakdirkan pemuda tadi telah syahid. Petang tersebut ketika semua jemaah telah pulang ke masjid, di waktu hendak berbuka puasa maka mereka telah menunggu makanan untuk berbuka (tunggu makanan adalah satu sunnah Nabi). Maka kawan sahabat yang shahid tadi telah bangun dan merapati Nabi SAW dan menceritakan perihal sahabat nabi yang sahaid tadi... dalam menceritakan itu nabi menjawab benar...benar...benar... dalam sepanjang cerita tersebut. Akhirnya Nabi SAW berkata memang benar cerita sahabat kamu tadi dan sekarang ini dia sedang menunggu untuk berbuka puasa di syurga....



SubhanAllah...

DAUN YANG JATUH....XKAN MEMBENCI ANGIN


“ Wahai Tuhanku, betapa telah Kau aturkan perkenalan sehingga membenihnya rasa cinta ini dan Kau pupuk ia tumbuh subur di hati kami agar bercambah keimanan. Namun andai hadirku menjadi ulat yang merosakkan antara dia denganMU, maka tidak ada tangguh untukku berundur dari dalam hidupnya. KeranaMu Tuhanku, saat aku memohon teman yang mengemburkan keimanan dan Kau anugerahkan dia menjadi pohon singgahana agar rimbunnya menjadi teduhanku dari bahang kemarau kehidupan. Bagaimana Kau meminta dia dariku kembali, sedang aku dan dia nyata milik-MU. PadaMu kuserahkannya, andai pengorbanan itu mahar keredhaan. Kerana saat Kau hadirkan pertemuan, telahku redha untuk sebuah perpisahan.”

BUAT INSAN YANG BERADA DI DALAM HATI INI....ANA BERSERAH SEGALANYA KEPADA ALLAH SWT....ANA MENCINTAI INSAN YANG SANGAT MENCINTAI ALLAH DAN NABINYA....

Pernahkah kita bertemu dengan seseorang yang tidak pernah kita kenal siapa dia, tidak pernah kita tanyakan dari mana asalnya. Dan dia duduk seketika bersama kita, menyinggahi kamar kehidupan dan meninggalkan kalam bisunya di ruangan jiwa. Dimensi pertemuan itu berbeza, saat kita tidak pernah melihat wajahnya namun kita bagai tahu bagaimana redup pandangannya. Dan tika kita tidak pernah sekali pun mendengar suaranya, kita bagai kenal nada bahasanya. Dan kita tertawan pada agamanya, saat tazkirah dan nasihat menjadi utusan hatinya..saat hadis-hadis Baginda bermain dalam ratib bahasanya dan Al Huda menjadi ayat karangan jiwanya. Dan bagi kita,sahabat adalah keperluan jiwa. Dialah ladang hati, yang kita taburi dengan kasih dan kita tuai dengan penuh rasa terima kasih. Dan pada kita, dialah anugerah istimewa dariNya saat kita memohon padaNya memilih teman perjalanan yang terbaik dalam kembara perjuangan di jalanNya. Begitu tika Dia hadirkannya berkali-kali menemani lena kita, saat istikharah yang kita pinta menjadi jawapanNya. Sehingga seluruh jiwa kita menyangka dialah sahabat yang bakal menjadi menjadi tonggak perjuangan selama masa kehidupan. Dan tika itu kita mengharapkan persahabatan yang berpanjangan dengan ikatan yang lebih kukuh dan diredhai..agar utusan hatinya sentiasa menemani kita, ratib bahasanya terus didendangkan di telinga dan karangan jiwanya terus kemas terukir saat kita alpa. Dan tidak pernah ada prasangka, bagaimana andai hadir kita memberi masalah padanya..kewujudan kita tanpa sedar mengganggu hatinya bertemu Pencipta. Dan kita terpaku tiba-tiba, dari doa yang kita pohon agar persahabatan dinaungi rahmatNya tiba-tiba bertukar cela. Mungkinkah dalam persahabatan itu penuh terpalit dosa, apakah nasihat kita melaghokan jiwanya..saat kita bersahabat kerana agamaNya. Namun tiba saat mengharuskan kita sedar, saat pertemuan diqasadkan untuk memburu redhaNya maka perpisahan keranaNya pasti membuah makna. Tika kita merunduk tawadhu` pada ketentuanNya dalam kudus jiwa kita membelas pada ketentuan takdir.. yakinlah Dia tidak pernah menganiaya hambaNya. Kalau kehadiran dianggap menyusahkan, moga pemergian menghembuskan ketenangan. Bila membenih subur kerana ukhuwwah, biar jatuh gugur dalam mahabbah. Kerana daun yang jatuh takkan sekali-kali membenci angin. Dan amankanlah hatimu dengan janjiNya :"..Dan sekali-kali tidaklah Rabb-mu menganiaya hamba-hambaNya." Fussilat::46.


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...