Tuesday, September 14, 2010

ANA SUKA AIR TERJUN..SEBAB.....


Pernah pergi tempat air terjun? Katakanlah, satu hari ni, kita teringin nak pergi tengok air terjun. Kawan-kawan kita kata ada satu air terjun ni sangat best! Harus pergi sana! Jadi kita pun excited nak pergi.

Rancang punya rancang, dengan membuat pelbagai persiapan yang sangat teliti, daripada masa perjalanan ke sana, aktiviti yang nak dilakukan di sana, berapa ramai yang nak pergi, dan macam-macam lagi.

Orang kata, memang bersungguh habislah!

Akhirnya, tibalah hari untuk pergi ke air terjun tersebut.

Biasalah, nak pergi tempat yang belum tercemar dengan pembangunan ni, perjalanan dia mesti agak 'bumpy' dengan jalan yang tak licin, ditambah lagi dengan sakit kepala naik 'angkut' (baca:van kecil yang tempat duduknya menghadap ke sisi jalan) adui, rasa menyesal pulak tiba-tiba.

Tapi, sebab kita yakin dah dengan kata-kata kawan-kawan kita tadi, bahawa air terjun tu tersangatlah best. Lebih kurang gitu la kan... punya, kita kuatkan semangat.

Walaupun terpaksa mengharung badai dan ombak, demimu air terjun aku sanggup meredahnya!

Lepas tu, tengah kita sakit perut, pening nak muntah, dengan jalan yang tak best tu, tiba-tiba telinga kita dapat menangkap sesuatu.

Bunyi air terjun!!

Daripada jauh kita dapat dengar. Lepas tu semangat kita pun naik...
Tak lama lepas tu kita dah boleh nampak sungai kecil dengan air yang sangat jernih. Dalam hati dah terfikir, 'air terjun tu nanti mesti lagi cantik airnya'

Setelah hampir dua jam mengharungi ombak dan badai, maka sampailah kita kepada kawasan air terjun yang dijanjikan tadi. Subhanallah, memang sangat cantik dan mendamaikan.

Maka hati kita pun dah berbunga-bunga dan gembira bahagia, tak menipu kawan-kawan kita rupanya.


Air Terjun Yang Indah

Cerita di atas merupakan kisah yang benar, namun boleh dijadikan sebagai sebuah analogi. Suatu persoalan, kenapa kita boleh percaya yang ada air terjun kat depan?

Pertama, sebab kita dah buat banyak persiapan untuk ke sana. Jadi sudah tentu kita tahu ke mana arah tuju kita.

Kedua, kerana ada banyak 'tanda' yang kita lihat dan dengar.

  • Daripada bunyi air terjun yang boleh didengari daripada jauh,
  • anak sungai yang kita lihat jernih airnya,
  • kata-kata sahabat kita, kerana kita yakin yang dia tidak akan menipu kita.

Jadi, walaupun banyak cabaran dan badai di hadapan, disebabkan Yakin itu, kita mengharunginya dengan tabah dan gagah.

* Cuba gantikan air terjun itu dengan akhirat dan segala janji-janji Allah.

Ia sesuatu yang pasti, dan tanda-tandanya sudah banyak ditunjukkan oleh Allah bagi insan yang mahu berfikir.

Kata-kata 'kawan' kita itu pula dengan kata-kata Muhammad bin Abdullah, Sang Al-Amin, yang tidak pernah menipu, segala kata-katanya, sama ada menerusi kalam Allah Al-Quran atau Hadith.

Pernahkah Rasulullah saw menipu? Jawapannya, kita semua tahu.

Tanda-tanda yang disebutkan sebagai semua tanda-tanda kebesaran dan keesaan Allah, samada dalam Al-Quran dan Hadith, atau melalui segala ciptaanNya di bumi. Segala keindahan alam, semuanya tanda kebesaranNya.

Segala kesusahan dalam perjalanan tadi pula, segala ujian (sama ada baik atau buruk) yang menimpa kita semasa di dunia.

Air terjun tu pula, dianalogikan sebagai syurga yang dijanjikan oleh Allah sangat indah dan tak mampu dibayangkan dek akal manusia yang pendek dan terbatas.

Jika dengan air terjun sahaja kita sudah kagum, apatah lagi syurga kan kawan-kawan?

Perjalanan kita ke sana pula, sebagai perjalanan kita untuk ke akhirat kelak. Pendek kata, kehidupan kita di bumi lah. Bukankah kita semua adalah pengembara?

Pengembara menuju kehidupan yang kekal abadi? Kehidupan kat dunia ni, tersangatlah pendek jika dibandingkan dengan akhirat kelak.

Tak berbaloi rasanya hidup berseronok di dunia, di akhirat merana. Oh tidak! Nauzubillah...

Akhir sekali, bukankah kita sanggup menghadapi segala kesusahan untuk ke air terjun tadi kerana kita YAKIN? Maka tukarkanlah perkataan yakin itu kepada IMAN kita dan terjemahkanlah ia dalam kehidupan kita.

Sebelum melakukan apa-apa, fikirkan dulu, apa natijahnya buat diriku di Sana nanti? Baikkah? Atau burukkah?

Keyakinan kita pada Allah, pada segala apa yang dijanjikannya, menjadi neraca yang cukup berharga. Ia tidak dapat diwarisi daripada bapa atau ibu yang soleh, ia perlu dicari dan ditanam oleh diri sendiri.

Diperkukuhkan dengan ilmu dan amal hanya kerana Allah swt satu-satunya Zat yang layak untuk diibadahi. Dengan bimbingan dan pedoman daripada Rasulullah saw, contoh terbaik bagi seluruh umat manusia.

"Begin with the end in mind", kata Stephen Covey.

Bagaimana kita mahu pengakhiran kita kelak, itulah yang akan mencorakkan seluruh kehidupan kita, insya Allah.

Kehidupan ini bukanlah mudah, banyak cabaran dan dugaan, terutama sekali di akhir zaman ini, dengan fitnah Dajjal sedang berleluasa, semoga kita terlindung daripadanya, Amin.

Namun, keindahan dan kecantikan syurga yang menjadi motivasi kepada kita, untuk terus kukuh dalam mentaatiNya, untuk terus kuat dalam menjauhi segala laranganNya, dengan izin Allah swt.

Iman, itu neracanya. Syurga, itu motivasinya.

Ayuh, mari menjadi insan yang bijak!

"Dan bersegeralah kamu kepada ampunan dari Rabbmu dan kepada syurga yang luasnya seluas langit dan bumi yang disediakan untuk orang-orang yang bertaqwa. (Iaitu) Orang-orang yang menafkahkan (hartanya), baik di waktu lapang mahupun sempit, dan orang-orang yang menahan amarahnya dan memafkan (kesalahan) orang. Allah menyukai orang-orang yang berbuat kebajikan" - Surah Ali-Imran (3:133-134)

Kita hanya manusia, dan manusia sering terlupa. Marilah mengingatkan sesama kita, moga berjumpa di syurga.


1 comment:

arif said...

alhamdulillah....bagus betul post ani...memang ituulah hakikat dunia...setiap yang baik itu kita jadikan tauladan dan penunjuk jalan untuk terus maju didunia dan diakhirat..amin...

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...